Entry: Akademi Gemilang: Pengembaraan Suzaimi Sunday, April 29, 2007



Hani Ismail
PTS One Sdn Bhd

Harga: RM 16.00 / RM 19.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 983-3653-76-6
Barcode: 9789833653768
Jumlah Halaman: 240 halaman
Tarikh Terbit: 27 May 2007

(Dari kiri: Izkandar, Azurin, Suzaimi, Mawar dan Asyran)

http://akademigemilang.blogspot.com

Sinopsis

Suzaimi, seorang remaja yang dikurniai oleh kelebihan istimewa - boleh melihat masa hadapan melalui mimpi - telah diburu oleh Hantu Serigala, iaitu seorang Agen Hades. Dalam pelariannya, dia bertemu dengan Agen Gemilang dan diselamatkan ke Akademi Gemilang. Di sana, dia disatukan dengan pelajar-pelajar istimewa lain yang mempunyai pelbagai kelebihan. Perkenalannya dengan Mawar (berkebolehan memunculkan busar api) telah menyeret Suzaimi ke sebuah pengembaraan. Turut bersama mereka dalam pengembaraan itu ialah Azurin (mempunyai kebolehan telekinesis), Izkandar (berkebolehan membaca minda melalui sentuhan) dan Asyran (berkeupayaan menghilangkan diri). Dalam pengembaraan ini mereka dicabar oleh Ratu Serpent dan Hantu Serigala. Di samping itu persoalan mengenai asal usul kebolehan istimewa mereka turut menjadi satu misteri. Apakah Gen Gemilang? Apakah maksud mimpi Suzaimi melihat cermin pecah? Dan berjayakah mereka menyelamatkan diri? Kesemua jawapan ada dalam AG.

Latar Pembikinan AG

Novel yang dikhaskan kepada remaja merupakan percubaan pertama saya menulis dalam genre berlainan - fantasi dan pengembaraan. Sebelum ini dalam novel pertama saya dengan Kaki Novel, ...dan mimpi pun bersatu, saya telah mengadunkan elemen pengembaraan dan fantasi di samping tema utamanya iaitu kisah cinta. Hanya dalam Kerana Dia Cinta, saya menumpukan sepenuhnya kepada tema cinta dan kasih sayang.

Untuk Akademi Gemilang, saya telah menggunakan nama pena berlainan untuk membezakan audiens yang akan membaca novel tersebut. Di samping itu, saya juga bekerja dengan sebuah agensi penerbitan yang lain - PTS One. Saya tidak mahu pembaca keliru dengan dua jenis genre yang saya tampilkan. Sejak awal pembabitan saya dalam dunia penulisan, saya lebih berminat untuk menulis cerita pengembaraan, penyiasatan dan fantasi. Tetapi pada waktu itu, pasaran untuk genre tersebut masih belum terbuka. Keadaan tersebut memaksa saya menulis tema cinta sahaja. Kini pasaran untuk genre pengembaraan, penyiasatan dan fantasi semakin berkembang luas. Saya ingin rebut peluang ini untuk merealisasikan impian saya yang pertama dahulu.

Siri Akademi Gemilang

Pengembaraan Suzaimi merupakan siri pertama dalam Akademi Gemilang. Plot dan rangka cerita untuk siri AG seterusnya sudah pun ada. Hanya menanti masa untuk mengerjakannya sahaja. Saya menyasarkan untuk menulis dua buah siri AG dalam setahun. Setakat ini saya masih belum mahu memutuskan berapa siri AG akan ditulis.

Doakan kejayaan saya dalam menjadikan impian masa kecil saya satu kenyataan.


Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan TAHNIAH kepada NHF Media Corp kerana menerbitkan enam buah novel baru sempena Pesta Buku Antarabangsa kali ini. Salah seorang penulisnya ialah Norrafishah Md Hassan. Tahniah juga saya ucapkan kepada Norra atas kelahiran novel barunya yang berbeza dengan penampilan sebelumnya. Tahniah sekali lagi.

   1 comments

mjojo52
July 4, 2008   12:36 AM PDT
 
pertanyaan:

bagaimana anda mendapat nama watak suzaimi utk dimuatkan dalam siri novel kali ini?
adakah ia sangat berkait rapat dengan kehidupan anda?. terima kasih...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments