Entry: Buah tangan terbaru Tuesday, August 21, 2007



Terbitan: Karnadya Solutions

Ini merupakan penerbitan sulung  untuk novel pendek ataupun NOPEN. Sebelum pandai menulis novel panjang - seperti bentuk yang ada di pasaran - saya memang suka menulis novel yang pendek-pendek seperti yang terkandung dalam koleksi novel ini. Namun sebelum kemunculan projek NOPEN Karnadya, saya tidak tahu di mana hendak menerbitkan karya-karya sebegini. Mujur Karnadya memulakan langkah menerbitkan karya pendek seperti ini yang telah dimulakan dengan penerbitan Semalam Ku Bermimpi karya novelis Aina Emir.

Dalam Biarlah Ku Sendiri, terkandung nopen saya yang berjudul Cinta Terakhir (tajuk asal). Nopen ini telah saya tulis sewaktu saya berada di tingkatan enam. Lebih kurang antara tahun 1993-1994. Tetapi saya ubah, gubah, tulis semula dan solekkan ia untuk penerbitan ini. Maklumlah, karya ini ditulis pada penghujung abad ke-20 (tahun 90-an). Banyak maklumat yang perlu diselaraskan agar sesuai diterbitkan pada abad ke-21 ini.

Nopen ini akan berada di pasaran tidak lama lagi. Bagi yang merindui hasil tulisan saya, sila dapatkan karya bersama ini di kedai buku yang berhampiran.

Promo daripada Karnadya

Biarlah Ku Sendiri memuatkan tujuh kisah menarik daripada penulis-penulis kreatif tanah air yang berpengalaman. Kisah-kisah di dalam buku ini tidak terlalu panjang, namun padat dengan plot-plot yang pastinya membuatkan anda terus membaca. Ada yang berunsur lucu, ada yang bersifat lebih serius, ada juga yang sedih, tetapi semestinya menghiburkan dan menyentuh perasaan.


Biarlah Ku Sendiri
(berbentuk novel pendek atau NOPEN) mampu menjadi teman anda ketika anda sedang bersantai, berehat dengan ahli keluarga, atau sedang berada dalam bas, kapal terbang, keretapi atau tren komuter, menuju ke destinasi anda.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments